Memahami Nilai Wang

nilai wang

Nilai masa bagi wang

Bayangkan anda ditawarkan sejumlah wang dan ditanya sama ada anda ingin menerima wang tersebut sekarang ataupun setahun kemudian. Atau fikirkan ini, dengan RM1, apa yang boleh anda beli pada tahun 1990, apa yang boleh anda beli sekarang dan apa yang mampu anda beli pada masa hadapan? Justeru itu, adakah anda memilih untuk menerima wang itu sekarang ataupun pada masa hadapan?

Soalan ini bukanlah sukar. Sesiapa pun pastinya akan memilih untuk memiliki wang tersebut sekarang. Didorong oleh naluri, anda sedia maklum bahawa wang yang dimiliki sekarang jauh lebih bernilai berbanding wang (jumlah yang sama) pada masa depan.

Ini merupakan prinsip penting ekonomi yang menyatakan bahawa selagi wang boleh memperoleh faedah, nilai wang adalah lebih tinggi sebaik sahaja wang tersebut diterima. Konsep ini menjelaskan nilai masa bagi wang, yang juga dikenali sebagai ‘nilai kini terdiskaun’.

Cuba anda fahami konsep ini. Sekiranya anda mendepositkan wang ke dalam akaun simpanan dengan pulangan kadar faedah 5% setahun, RM1,000 yang disimpan sekarang akan mempunyai nilai RM1,050 dalam tempoh setahun (RM1,000 x 1.05). Manakala, RM1,000 yang diterima setahun dari sekarang hanya bernilai RM 952.38 hari ini. (RM1,000 dibahagi dengan 1.05). Di sini, pendaraban digunakan apabila jumlah ringgit didepositkan ke dalam akaun yang memperoleh faedah. Ini adalah kerana dari sekarang sehingga masa hadapan, faedah diperoleh secara berterusan.

Pembahagian pula digunakan untuk mewakili kerugian yang dialami sepanjang tempoh jumlah ringgit tidak didepositkan ke dalam akaun simpanan yang memperoleh faedah. Ia adalah semudah itu!

Daripada gambaran ini, anda dapat perhatikan bahawa wang mempunyai nilai masa. Sekiranya perkara lain tetap sama, nilai semasa sejumlah wang sekarang adalah lebih besar berbanding sejumlah wang yang sama yang diterima pada masa hadapan.

Kuasa Faedah Kompaun

Berapa pentingkah untuk menyimpan wang bagi tabungan sekarang, jika dibandingkan pada hari kemudian?

Sila rujuk pada contoh bagi tiga individu ini – Ahmad, Siti dan Zainal – di LAMPIRAN 1. Setiap daripada mereka melabur jumlah wang yang sama secara konsisten, iaitu RM3,000, dengan pulangan yang sama sebanyak 10% setiap tahun. Bagaimanapun, mereka memulakan pelaburan pada usia yang berbeza-beza – Ahmad pada usia 18 tahun, Siti pada usia 22 tahun sementara Zainal pada usia 30 tahun.

Apabila ketiga-tiga mereka bersara pada usia 55 tahun, Ahmad mempunyai lebih wang berbanding Siti dan Zainal. Dia mempunyai RM467,913 manakala Siti RM449,773 dan Zainal RM360,300 masing-masing.

Ahmad bukan saja mempunyai lebih banyak wang pada usia 55, malah dia juga telah melabur jumlah wang yang paling sedikit, iaitu RM15,000 berbanding Siti yang melabur RM24,000 dan Zainal RM75,000.

Hasil contoh di atas berpunca daripada faedah kompaun, iaitu faedah tambahan yang diperoleh atas jumlah simpanan asal ditambah dengan faedah yang diterima.

Kuasa faedah kompaun menunjukkan bahawa jika anda menabung lebih awal maka lebih tinggi faedah terkumpul yang diperoleh dalam pelaburan asal anda. Secara ringkas, lebih banyak wang disimpan sekarang – lebih cepat bagi anda memenuhi impian anda. Jadi, bilakah masa terbaik untuk memulakan simpanan? Pastinya SEKARANG juga!

Bagaimana kiraan faedah kompaun – tahunan dan bulanan

Jika anda mendepositkan RM10,000 ke dalam bank yang memberikan faedah 5% setahun, anda mendapat RM10,500 pada akhir tahun. Jika anda mengekalkan keseluruhan jumlah wang tersebut bagi setahun lagi, anda mendapat RM11,025. Bagi tahun kedua pula, bukan saja anda mendapat faedah atas pelaburan asal, malah anda juga menerima faedah atas faedah yang anda terima pada tahun sebelumnya. Ini dipanggil faedah kompaun, iaitu faedah ke atas faedah.

Faedah kompaun penting kepada pelabur yang berupaya mengekalkan pelaburan mereka untuk berkembang bagi tempoh yang panjang. Pelaburan RM10,000 yang disebutkan di atas, apabila dilaburkan selama 10 tahun pada kadar faedah 5% setahun, akan bernilai RM16,289! Bukankah ini mengkagumkan?

Jika kadar faedah 5% dikompaun setiap bulan, maka kadar faedah bulanan ialah 0.42% (5% setahun dibahagikan dengan 12 bulan). Jika jumlah RM10,000 yang sama dilaburkan selama 10 tahun pada kadar 0.42% setiap bulan, maka jumlah tersebut akan bernilai RM16,401, iaitu RM112 lebih berbanding dilaburkan pada kadar tahunan 5%. Oleh itu, anda mendapat lebih faedah sekiranya anda melabur dalam pelaburan yang memberi pulangan kompaun bulanan berbanding tahunan.

Faedah kompaun juga boleh diibaratkan sebagai pedang bermata dua, iaitu sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan dan juga keburukan. Ia dapat membantu memberi lebih pulangan atas pelaburan anda kerana manfaat daripada faedah kompaun bermaksud anda mendapat pulangan yang lebih tinggi sekiranya pelaburan tersebut dikekalkan bagi jangka masa panjang. Sebaliknya, jika anda mempunyai pinjaman atau hutang kad kredit, anda akhirnya mungkin membayar lebih faedah sekiranya hutang tersebut dikira pada kadar faedah terkompaun.

Ini kerana sekiranya anda lewat menjelaskan pinjaman atau pembayaran kad kredit bagi tempoh yang lebih panjang, anda akan dikenakan lebih faedah yang akhirnya menimbulkan kesukaran untuk menjelaskan pinjaman atau hutang kad kredit tersebut.

– Buku Celik Wang

5/5 - (1 vote)


simbol bagus

unifi

Banner 3



rawatan bekam

temu

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *